Bangladesh sedang membangunkan sebuah pulau di Teluk Bengal yang tidak berpenghuni untuk menempatkan 100,000 umat Islam Rohingya - di tengah-tengah isyarat bercanggah dari pegawai tinggi Bangladesh mengenai sama ada pelarian itu akan terus terkandas di sana.
Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada hari Isnin berkata penempatan rakyat Rohingya di pulau itu adalah "langkah sementara" untuk mengurangkan kesesakan di kem-kem di Cox's Bazar, yang menjadi tempat perlindungan hampir 700,000 orang yang menyeberang dari negeri Rakhine di utara Myanmar sejak akhir Ogos tahun lepas.
Bagaimanapun, salah seorang penasihatnya memberitahu Reuters bahawa, apabila tiba di sana, mereka hanya dapat meninggalkan pulau itu jika mereka mahu kembali ke Myanmar atau mendapat suaka di negara ketiga.
"Ia bukan kem tahanan, tetapi mungkin ada sekatan. Kami tidak memberi mereka pasport atau kad pengenalan Bangladesh," kata HT Imam, sambil menambah bahawa pulau itu akan mempunyai balai polis dengan 40-50 anggota bersenjata.
Jurutera British dan China membantu menyiapkan pulau itu untuk menerima pelarian sebelum bermulanya hujan monsun pada bulan April, yang boleh mengakibatkan bencana banjir melanda kem-kem jauh di selatan yang kini dihuni sekitar satu juta rakyat rakyat Rohingya.
Penasihat Hasina, Imam, berkata persoalan memilih pelarian Rohingya di Cox's Bazar untuk berpindah ke pulau itu belum dimuktamadkan, tetapi ia boleh diputuskan melalui cabutan atau secara sukarela.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian berkata dalam satu kenyataan: "Kami akan menekankan bahawa sebarang pelan penempatan yang melibatkan pelarian perlu berasaskan dan dilaksanakan melalui keputusan secara sukarela dan keputusan bermaklumat."
Agensi-agensi kemanusiaan mengkritik rancangan untuk membawa Rohingya ke pulau itu apabila ia mula-mula dicadangkan pada 2015.
Pekerja bantuan yang bercakap kepada Reuters berkata mereka memandang serius bahawa pulau lumpur itu terdedah kepada siklon yang kerap berlaku dan tidak dapat menampung kehidupan ribuan orang.
Tetapi kerja-kerja pelaksanaan projek itu telah dipercepat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, demikian menurut pelan seni bina dan dua surat dari angkatan laut Bangladesh kepada pegawai kerajaan tempatan dan kontraktor kerajaan tempatan yang dilihat oleh Reuters.
Setahun yang lalu, ketika wartawan Reuters melawat Bhasan Char - yang namanya bermaksud "pulau terapung" - tidak ada jalan, bangunan atau penghuni di situ.
Apabila pergi semula ke situ pada 14 Februari, mereka mendapati beratus-ratus buruh yang mengangkut bata dan pasir dari kapal di pantai barat laut berlumpur. Imej satelit sekarang menunjukkan ada jalan raya dan apa yang kelihatannya seperti helipad.
Pulau Terapung, yang muncul dari lumpur kira-kira 20 tahun yang lalu, terletak kira-kira 30km dari tanah besar. Ia sentiasa banjir pada bulan Jun-September. Lanun bergerak di perairan berhampiran untuk menculik nelayan untuk tebusan, kata penduduk di pulau-pulau berdekatan.
Pelan itu menunjukkan bangunan-bangunan batu yang berbumbung logam, dibina di atas tiang dan dilengkapi dengan panel solar. Terdapat 1,440 blok, yang setiap satu dapat menempatkan 16 keluarga.
Syarikat China dan British
Syarikat pembinaan China, Sinohydro - yang dikenali sebagai syarikat yang membina 'Three Gorges Dam' China - telah memulakan kerja membina benteng pertahanan banjir sepanjang 13km untuk projek bernilai AS$280 juta.
Jurutera Sinohydro di Bhasan Char, yang dihubungi dengan telefon, berkata syarikat itu mempunyai "perjanjian kerahsiaan" dan soalan mengenai pembinaan di pulau itu harus dirujuk kepada kerajaan Bangladesh.
HR Wallingford, sebuah syarikat perunding kejuruteraan dan hidraulik alam sekitar, menjadi penasihat projek itu membabitkan "penstabilan pantai dan langkah perlindungan banjir", kata syarikat itu kepada Reuters dalam satu kenyataan awal bulan ini.
"Rekabentuk infrastruktur pantai dijangka termasuk benteng pertahanan banjir yang melindungi kawasan pembangunan dengan piawaian antarabangsa, bermula dari garis pantai," katanya. Syarikat itu merujuk pertanyaan lanjut kepada Tentera Laut Bangladesh.
- Reuterssumber: https://www.malaysiakini.com

